Kenapa aku beli?
Sudah tentu aku punya kemahuan yang tinggi untuk menjadi seperti penulis-penulis hebat. Sebagai langkah permulaan, aku merasakan buku ini sesuai untuk aku jadikan pemangkin untuk berjaya. Cuma aku punya satu masalah yang tidak elok dijadikan contoh. Aku suka membeli tetapi selalu gagal membaca hingga habis.
Percaya atau tidak? Buku hebat ini akhirnya berjaya aku habiskan pada hari ini. Hanya selepas lebih dari 11 tahun aku mulakan bacaan perkataan pertama.
Mungkin... kalau aku baca buku ini 11 tahun yang lalu, aku sudah punya beberapa judul hebat selaku penulis. Itu kan mungkin, angan-angan kalah Mat Jenin. Pasti ada yang kata, aku telah kerugian. Benar aku banyak rugi dalam menunggu. Ada kemahuan sahaja tidak mencukupi. Ia perlukan tonik hebat dipanggil kegigihan. Dan tidak ramai punya elemen hebat ini dalam diri.
Bak kata penulis buku ini, banyak halangan dalam menulis dan halangan sebenar adalah diri sendiri. Macam-macam alasan direka untuk tidak memulakan sesuatu. Tiada idea, tiada masa dua isu yang selalu jadi alasan kukuh untuk berhenti seketika.
Penulis buku ini nasihatkan aku, tulis yang kecil hingga siap adalah lebih bagus dari bercita-cita menulis yang besar tetapi tidak pernah sampai siap.
Idea ada kala jadi musuh. Jauh pergi dari minda, jadi kosong. Tetapi ada waktu ia jadi sahabat terbaik, sentiasa disisi sehingga jadi keliru mana yang perlu dijadikan nombor satu.
Menulislah dan jangan berhenti. Otak yang kerap diasah dengan menulis akan menjadi lebih tajam seperti pisau. Ada yang hebat menulis dalam suasana sunyi dan memilih mengasingkan diri dalam bilik sendirian. Ada pula yang perlukan pencetus suasana riang dan menjadikan lokasi indah seperti tepi pantai ataupun shopping mall yang meriah untuk mencari ilham. Dan ada yang suka menulis dalam tekanan, kerana ia seperti satu paksaan dan tiada jalan keluar sehingga penulisan selesai.
Apapun cara, pasti ada hasilnya. Yang penting kemahuan perlu disertakan dengan usaha yang gigih dan tidak jemu. Jangan takut kepada komentar insan-insan yang membaca nukilan. Kerana sekurang-kurangnya, kita tahu bahawa tulisan kita ada pembacanya.
Demikianlah sedikit sebanyak aku kongsikan ilmu yang diperolehi dari buku yang umurnya dalam pemilikan ku sudah lebih 11 tahun. Pencetus untuk aku terus menulis, kembali menulis dan mencari peminat.
Joyazrin
No comments:
Post a Comment