Dari awal aku sudah memilih 3 buah buku untuk aku jadikan peneman sepanjang tempoh menunggu kereta ku di servis. Walaupun aku tahu masa yang ada tidak mengizinkan aku membaca kesemuanya namun ku bawa semua kerana tiada kata putus di hati yang mana satu yang jadi bacaan.
Sampai sahaja aku di kawasan parkir terus ku ambil salah satu dari tiga buku dan kusimpan selebihnya. Nampak poyo seperti rajin sesangat lah nak membaca. Tapi... ADA AKU KISAH?
Buku ni rasanya sudah lebih 5 tahun dalam simpanan. Sebenarnya aku lupa bila aku mula memilikinya. Tetapi memang bertahun. Melihat kepada bentuk dan kondisi tampak seperti buku baru. Almaklum buku tidak berusik. Tersusun indah dalam kabinet buku.
Koleksi buku DR TUAH ada tiga semuanya dalam simpanan. Beli 3 sekaligus dulu dan tidak satu pun dah mula dibaca hingga lah ke hari ini. Tempoh menunggu aku untuk sesi kali ini sangat panjang. Janji manis pukul 2 susah selesai, akhirnya hanya jam 3 baru kunci diserah ke tangan tanda selesai.
Percaya atau tidak, tempoh dari jam 11 hingga jam 3, aku berjaya baca hingga tamat buku "Ada AKU KISAH". Walaupun tidak setiap huruf dan perkataan (sebab BOSAN). Boleh dikatakan lebih 90 peratus kandungan nya kubaca.
Komen pasal BUKU?
Belum layak lagi bagi ku untuk komen penulisan penulis hebat seperti Dr TUAH. Belum berani kerana belum ada buku.
Menurut penulis buku ini, beliau tidak gemar membaca buku motivasi tulisan penulis lain kerana tidak mahu terikut dengan gaya penulisan dan kandungan yang mungkin diceduk. Dan bagi penulis ini lagi, beliau mengidolakan diri sendiri dalam dunia penulisan ini. Hak masing-masing kan.
Bagi penulis baru (tak layak pun nak panggil penulis) seperti aku, membaca buku orang lain adalah satu bentuk pembelajaran dari pembacaan. Mungkin gaya penulisan sedikit sebanyak akan mempengaruhi namun ia untuk tempoh masa terhad. Gaya tersendiri yang sudah sebati akan kembali menguasai. pengisian dan kandungan pasti nya berbeza walaupun mungkin ada yang diambil sebagai panduan.
Membaca jambatan ilmu. Membaca juga boleh membentuk peribadi positif. Membaca buku motivasi ada manfaatnya. Kalau tidak banyak, sedikit pasti ada perubahan dalam kehidupan. Untuk merasai sendiri pengalaman orang pasti mustahil. Kisah yang berbeza, latar belakang juga tidak sama. Belajar dari pengalaman orang lain juga beri impaks baik dalam penulisan mahupun kehidupan. Ambillah yang positif dan jadikan yang kurang positif sebagai benteng untuk diri sendiri.
Kenali tahap dan kekangan yang ada. Dalam semua urusan, pastinya kaedah penyelesaian pasti berbeza merujuk kepada keadaan sebenar yang sedang berlaku. Pengalaman ini tidak boleh dibeli namun ia boleh dikongsi nikmatnya dengan orang lain.
Ada mungkin bertanya, "Kenapa MENULIS"...
Saya suka membaca tulisan sendiri dan setiap kali saya membaca pasti saya tidak percaya bahawa garapan itu saya sendiri yang hasilkan. Seperti membaca tulisan insan lain. Mungkin pandangan orang lain berbeza. Serius peringkat awal rasa malu bila baca tulisan sendiri. Nampak banyak salah dari betul.
Sewaktu menulis entri ini, aku telah GAGAL untuk terus menulis selama hampir 2 bulan secara berterusan. Janji awal dahulu, untuk rajin menulis dengan lebih kerap. Mahu hasilkan sebuah buku sendiri sekurang-kurangnya pada penghujung tahun. Namun masih dalam mimpi. Mimpi yang menghantui orang GAGAL. Gagal sementara je, insyaALLAH.
Semangat masih ada, jiwa masih kental, hati sedikit keras. Cuma MALAS masih menebal. Tak tahu macam mana lagi nak diajar supaya malas ini menjauhi. Melekat bak belangkas, sukar dipisahkan.
Sekiranya ada rakan-rakan yang ada tips BUANG MALAS, silalah berkongsi dengan ku.
Biar ku HALAU jauh2 rasa tidak enak ini dari diri.