Azman bengang. Azman tidak merokok. Lama dah Azman berhenti merokok, kira-kira 8 tahun lalu. Kalau tanya Azman susah ke berhenti merokok? Susah sangat-sangat, benda dah jadi ketagih sebati dengan diri memang susah nak tinggalkan. Payah ya amat sangat. Tapi Azman berjaya.
Ikut sejarah Azman mula kenal rokok di sekolah asrama, masuk sahaja tingkatan 2 sudah ada senior yang sua rokok untuk dicuba. Azman masih budak-budak, mana kenal bahaya. Janji dapat berkawan, benda percuma. Rokok pertama, buat Azman jatuh longkang. Padan muka Azman. Tapi tak serik, dan itulah permulaan Azman jadi perokok tegar.
Kalau tanya geng merokok, paling syok adalah lepas makan. Dan ada segelintir yang suka masa membuang. Berasap-asap bilik kecil tu tapi tak pernah Azman mengadu lemas dengan bau dan asap. Azman tenang dengan asap-asap. Bagi Azman, setiap hembusan melepaskan segala masalah dalam benak kepala. Kalau tak dapat merokok umpama hilang sesuatu yang indah dalam hidup. Hidup tak sempurna, hilang senyuman.
Azman memang kuat merokok, boleh habis sekotak dalam sehari. Kalau dapat berkumpul dengan rakan-rakan sejenis lagi laju rokok dinyala dan padam dijari. Silih berganti dengan borak-borak kosong. Kalau zaman bujang, kena masa main kad black jack atau pair, rokok la peneman. Tak lekang dari jari dan mulut berganti-ganti.
Azman dulu hisap Dunhill tak macam budak-budak sekarang hisap jenis murahan rokok seludup. Bukan sebab Azman kaya atau Azman berduit, cuma dulu memang rokok murah. Tak semacam sekarang rokok harga yahudi. Kalau dulu tiada pun rokok seludup kecuali jenis kretek. Gudang garam kalau layan sebatu boleh bau, memang kantoi Azman dengan cikgu zaman asrama. Tapi kalau di luar sekolah, memang pilihan utama sebab lambat habis. Puas hati rasa cengkih tapi confirm berkahak lepas itu.
Zaman sekolah Azman sorok rokok dalam Kamus tebal, potong siap-siap bentuk kotak rokok. Cikgu pun tak terfikir agaknya Azman sanggup korbankan kamus yang mahal sebagai lokasi rahsia. Port Azman hisap rokok paling selamat adalah di atas loteng asrama. Malam pun sanggup panjat, masa itu tak takut apapun. Hantu pun Azman tak peduli janji dapat hisap rokok tanpa diganggu. Boleh sahaja hendak hisap dalam bilik asrama tetapi tak puas sebab nanti kena pow dengan kawan-kawan sebilik. Biasa lah, nak merokok malas membeli. Itu yang buat bulatan dan rokok akan bertukar tangan ikut bulatan. Siapa yang sedut kuat, memang kena ketuk kepala sebab tak hormat orang lain. Owner rokok selalu diberi kelebihan merokok sehingga puas dan meninggalkan baki buat sahabat yang lain.
Azman dulu kantoi hisap rokok dengan cikgu. Cikgu bagi curut india, hisap sampai muntah. Dia potong kecil-kecil curut tu disuruhnya telan. Memang serik kantoi tapi Azman tak berhenti rokok pun. Azman susah nak berhenti rokok. Dulu perokok satu lambang kenakalan budak lelaki. Dan budak nakal memang diminati. Itu sebab Azman terus merokok, supaya tak jadi budak nerd.
Masuk universiti, lagi laju Azman merokok. Jumpa pula kawan-kawan serumah yang 90% confirm perokok. Yang tak merokok pun jadi merokok dek kerna pengaruh rakan sebaya. Macamana la Azman hendak berhenti merokok. Memang tak la...
Masa belajar Azman pernah cuba berhenti itupun selepas sebulan dilanda batuk tidak berhenti. Doktor yang merawat nasihat suruh berhenti kalau taknak mati sebab rokok. Jahat sungguh doktor tu. Suka takutkan anak-anak muda seperti Azman. Gembira hati awek Azman masa tahu Azman ambil keputusan nak berhenti rokok. Senyum simpul si awek.
Berjaya juga Azman berhenti merokok selama setahun. Masuk tahun terakhir di universiti Azman kena buat macam-macam projek akhir. Azman jadi sangat stress. Muka dah ketat dan badan jadi penat. Ada pula lahabau hulur rokok buat release tension katanya. Azman lemah digoda. Iman senipis bawang, Azman tewas dengan rokok percuma sekali lagi. Dari hisap yang percuma, Azman kembali jadi pembeli. Akhirnya Azman kembali bergelar PEROKOK. Kembali sedih awek Azman...
Bila dah mula berkeluarga Azman mula ada kekangan bila hendak merokok. Sang isteri memang hidung jenis sensitif. Tak boleh langsung bau. Azman dah gagal merokok masa membuang. Azman cuma bole merokok masa di luar rumah. Azman tipu bini konon-konon dah berhenti merokok. Azman siap spare chew gum dan gula-gula dalam poket. Selalu jadi penyelamat dari kantoi.
Bila dah ada anak-anak baru la Azman rasa sangat-sangat perlu untuk berhenti. Jumpa pula rakan-rakan yang lebih berumur nasihat untuk stop merokok. Azman jadikan mereka ini contoh yang baik utnuk diteladani. Ada yang bagitau, kalau tak merokok duit beli rokok boleh kumpul beli kereta. Masa jadi perokok, Azman akan tanya balik, "Hah mana kereta yang kau berjaya beli ?" Marah betul Azman.
Tekad Azman untuk berhenti kali ini bukan atas nasihat seorang doktor yang memberi perkhabaran ngeri tentang kesihatan. Tetapi sekadar mahu berubah untuk jadi lebih baik. Pernah bila diserang sakit kepala, Azman campak kotak rokok siap menyumpah bencikan rokok penyebab sakit. Namun hanya sementara. Kali ini Azman TEKAD dan NEKAD akhirnya berhenti untuk ke sekian kalinya.
Bila kini melihat kan perokok tidak ambil pusing dengan orang sekeliling, Azman jadi bengang. Dulu Azman juga perokok tapi Azman prihatin, sanggup matikan rokok bila ada anak kecil duduk berdekatan. Azman betul-betul bengang dengan mereka yang pentingkan diri sendiri.
Bila kerajaan umum pasal perintah larangan merokok, Azman orang yang paling awal angkat tangan bersetuju dengan tindakan wajar kerajaan. Walaupun kerajaan yang keluarkan perintah bukan kerajaan pilihan Azman, Azman gembira dengan keputusan ini.
Setiap kali kerajaan umum naik harga rokok, Azman lihat ramai rakan-rakan yang maki kerajaan. Azman pula tak ambil peduli tentang harga rokok. Azman peduli apa, Azman boleh senyum walaupun harga rokok melambung sekotak RM100.
No comments:
Post a Comment