Sunday, April 19, 2020

AZMAN

Azman bengang. Azman tidak merokok. Lama dah Azman berhenti merokok, kira-kira 8 tahun lalu. Kalau tanya Azman susah ke berhenti merokok? Susah sangat-sangat, benda dah jadi ketagih sebati dengan diri memang susah nak tinggalkan. Payah ya amat sangat. Tapi Azman berjaya. 
Ikut sejarah Azman mula kenal rokok di sekolah asrama, masuk sahaja tingkatan 2 sudah ada senior yang sua rokok untuk dicuba. Azman masih budak-budak, mana kenal bahaya. Janji dapat berkawan, benda percuma. Rokok pertama, buat Azman jatuh longkang. Padan muka Azman. Tapi tak serik, dan itulah permulaan Azman jadi perokok tegar. 

Kalau tanya geng merokok, paling syok adalah lepas makan. Dan ada segelintir yang suka masa membuang. Berasap-asap bilik kecil tu tapi tak pernah Azman mengadu lemas dengan bau dan asap. Azman tenang dengan asap-asap. Bagi Azman, setiap hembusan melepaskan segala masalah dalam benak kepala. Kalau tak dapat merokok umpama hilang sesuatu yang indah dalam hidup. Hidup tak sempurna, hilang senyuman. 

Azman memang kuat merokok, boleh habis sekotak dalam sehari. Kalau dapat berkumpul dengan rakan-rakan sejenis lagi laju rokok dinyala dan padam dijari. Silih berganti dengan borak-borak kosong. Kalau zaman bujang, kena masa main kad black jack atau pair, rokok la peneman. Tak lekang dari jari dan mulut berganti-ganti. 

Azman dulu hisap Dunhill tak macam budak-budak sekarang hisap jenis murahan rokok seludup. Bukan sebab Azman kaya atau Azman berduit, cuma dulu memang rokok murah. Tak semacam sekarang rokok harga yahudi. Kalau dulu tiada pun rokok seludup kecuali jenis kretek. Gudang garam kalau layan sebatu boleh bau, memang kantoi Azman dengan cikgu zaman asrama. Tapi kalau di luar sekolah, memang pilihan utama sebab lambat habis. Puas hati rasa cengkih tapi confirm berkahak lepas itu.

Zaman sekolah Azman sorok rokok dalam Kamus tebal, potong siap-siap bentuk kotak rokok. Cikgu pun tak terfikir agaknya Azman sanggup korbankan kamus yang mahal sebagai lokasi rahsia. Port Azman hisap rokok paling selamat adalah di atas loteng asrama. Malam pun sanggup panjat, masa itu tak takut apapun. Hantu pun Azman tak peduli janji dapat hisap rokok tanpa diganggu. Boleh sahaja hendak hisap dalam bilik asrama tetapi tak puas sebab nanti kena pow dengan kawan-kawan sebilik. Biasa lah, nak merokok malas membeli. Itu yang buat bulatan dan rokok akan bertukar tangan ikut bulatan. Siapa yang sedut kuat, memang kena ketuk kepala sebab tak hormat orang lain. Owner rokok selalu diberi kelebihan merokok sehingga puas dan meninggalkan baki buat sahabat yang lain.

Azman dulu kantoi hisap rokok dengan cikgu. Cikgu bagi curut india, hisap sampai muntah. Dia potong kecil-kecil curut tu disuruhnya telan. Memang serik kantoi tapi Azman tak berhenti rokok pun. Azman susah nak berhenti rokok. Dulu perokok satu lambang kenakalan budak lelaki. Dan budak nakal memang diminati. Itu sebab Azman terus merokok, supaya tak jadi budak nerd. 

Masuk universiti, lagi laju Azman merokok. Jumpa pula kawan-kawan serumah yang 90% confirm perokok. Yang tak merokok pun jadi merokok dek kerna pengaruh rakan sebaya. Macamana la Azman hendak berhenti merokok. Memang tak la...

Masa belajar Azman pernah cuba berhenti itupun selepas sebulan dilanda batuk tidak berhenti. Doktor yang merawat nasihat suruh berhenti kalau taknak mati sebab rokok. Jahat sungguh doktor tu. Suka takutkan anak-anak muda seperti Azman. Gembira hati awek Azman masa tahu Azman ambil keputusan nak berhenti rokok. Senyum simpul si awek. 

Berjaya juga Azman berhenti merokok selama setahun. Masuk tahun terakhir di universiti Azman kena buat macam-macam projek akhir. Azman jadi sangat stress. Muka dah ketat dan badan jadi penat. Ada pula lahabau hulur rokok buat release tension katanya. Azman lemah digoda. Iman senipis bawang, Azman tewas dengan rokok percuma sekali lagi. Dari hisap yang percuma, Azman kembali jadi pembeli. Akhirnya Azman kembali bergelar PEROKOK. Kembali sedih awek Azman...

Bila dah mula berkeluarga Azman mula ada kekangan bila hendak merokok. Sang isteri memang hidung jenis sensitif. Tak boleh langsung bau. Azman dah gagal merokok masa membuang. Azman cuma bole merokok masa di luar rumah. Azman tipu bini konon-konon dah berhenti merokok. Azman siap spare chew gum dan gula-gula dalam poket. Selalu jadi penyelamat dari kantoi. 

Bila dah ada anak-anak baru la Azman rasa sangat-sangat perlu untuk berhenti. Jumpa pula rakan-rakan yang lebih berumur nasihat untuk stop merokok. Azman jadikan mereka ini contoh yang baik utnuk diteladani. Ada yang bagitau, kalau tak merokok duit beli rokok boleh kumpul beli kereta. Masa jadi perokok, Azman akan tanya balik, "Hah mana kereta yang kau berjaya beli ?" Marah betul Azman.

Tekad Azman untuk berhenti kali ini bukan atas nasihat seorang doktor yang memberi perkhabaran ngeri tentang kesihatan. Tetapi sekadar mahu berubah untuk jadi lebih baik. Pernah bila diserang sakit kepala, Azman campak kotak rokok siap menyumpah bencikan rokok penyebab sakit. Namun hanya sementara. Kali ini Azman TEKAD dan NEKAD akhirnya berhenti untuk ke sekian kalinya.

Bila kini melihat kan perokok tidak ambil pusing dengan orang sekeliling, Azman jadi bengang. Dulu Azman juga perokok tapi Azman prihatin, sanggup matikan rokok bila ada anak kecil duduk berdekatan. Azman betul-betul bengang dengan mereka yang pentingkan diri sendiri. 

Bila kerajaan umum pasal perintah larangan merokok, Azman orang yang paling awal angkat tangan bersetuju dengan tindakan wajar kerajaan. Walaupun kerajaan yang keluarkan perintah bukan kerajaan pilihan Azman, Azman gembira dengan keputusan ini.

Setiap kali kerajaan umum naik harga rokok, Azman lihat ramai rakan-rakan yang maki kerajaan. Azman pula tak ambil peduli tentang harga rokok. Azman peduli apa, Azman boleh senyum walaupun harga rokok melambung sekotak RM100.

KIAH

Kiah makin tinggi diri. Sejak tular disebut dalam media, Kiah sudah sombong. Jalannya tegak tidak lagi menoleh kiri dan kanan. Jangan kau tersadung tergolek macam anjing jangan salah kan manusia pula ye Kiah. Orang bijak berpesan, jalan tu tunduk-tunduk sikit memandang tanah.

Kiah peduli apa dengan apa orang kata, biarlah apa mereka nak carutkan. Kiah tidak lagi ambil pusing. Kiah tahu Kiah always betul. Kiah tak belajar tinggi tapi Kiah lawa, manis, gojes, padu bak kata budak zaman sekarang. Mak Kiah pun dah tak kuasa nak halang. Penat agaknya orang tua membebel, masuk telinga kanan keluar semula setiap butir telinga kiri, takde dilekat di benak kepala Kiah ni. Kiah memang betul-betul berubah...

Senah pun perasan, Kiah dah tidak macam dulu. Mesra dan baik tersenyum dengan semua orang. Sekarang lalu sebelah pun tak mahu dia menegur. Apa salah Senah, dia sendiri tak tahu. Lantak lah kamu Kiah, janji kau tak kacau laki aku sudah, fikir Senah mudah malas nak campur.

Kiah bukan apa, Kiah ingin kan perubahan. Takkan sampai bila-bila Kiah nak jadi budak kampung. Kiah kena ambil langkah permulaan. Kalau tidak mula sekarang, sampai bila-bila lah Kiah begini. Tak maju, tidak mundur. Kekal membatu macam tugu. Kiah dah buat kira-kira, kalau menjadi seperti apa dirancang dalam tahun depan Kiah dah boleh beli kereta. Makin berlagak la Kiah dengan sekalian orang Kampung Katak Hijau ini.

Agaknya Kiah dah penat kayuh basikal. Kesana kesini dulu, dia kuat mengayuh sampai keras betis dia. Kalau diselak nampak berketul otot, seram tengok dek budak-budak. Kiah dah pilih model kereta idaman, Kiah tak mimpikan yang besar dan mewah, cukup la Kiah nak Kancil Turbo warna Ungu. Memang feberet Kiah dari dulu.

Pernah dulu dia naik kereta seperti ini milik Seman, anak ketua kampung Haji Manap Lebai. Seman ini tidak la kacak cuma harap tinggi dan putih itupun sebab khabarnya ada darah keturunan cina dari seberang. Seman ada lah try-try kacau Kiah, dia ajaknya Kiah jalan-jalan pekan. Kiah happy sangat sebab dalam kampung ni kira Seman ni pujaan gadis-gadis. kalau Mila, Muna, Jemah dan Lola tahu tentu naik berbulu masing-masing. Semua tu memang pasang nawaitu nak jadi menantu Tok Ketua. Apa la anak dara kampung cita-cita takde yang berwawasan.

Hati Kiah girang la masa jalan-jalan, tapi riang nya tidak berpanjangan ke petang. Baru je keluar kedai makan, ada sekumpulan anak India duk berkumpul keliling kereta Seman. Seman jadi kaget, apa kes? Kiah tengok dari jauh, sebab malas nak campur hal lelaki. Bincang punya diskus, nampak Seman serah kunci. Apa punya anak ketua kampung, hutang kancil pun 4 bulan dah tak bayar. Naya Kiah balik naik beca, bayar sendiri. Seman pula, Kiah malas layan, lantak le kamu katanya. Takde duit jangan cuba-cuba nak dekat dengan Kiah. Kiah ada standard. Kiah bukan biasa-biasa.

Kiah ada jumpa Ustazah Zaiton, minta nasihat. Ustazah Zaiton ni macam kakak angkat Kiah. Ustazah muda yang ajar di sekolah Kiah mula dari Tingkatan 4. Kiah cerita semua niat nak berubah, Kiah tunjuk perancangan Kiah. Kiah dah cerita semua impian dan harapan Kiah pada Ustazah. Ustazah mampu senyum dan minta Kiah balik. Ustazah siap pesan, jangan lagi datang jumpa dia. Kiah terpinga-pinga. Ustazah tak suka ke dengan pelan Kiah, Kiah bukan bodoh alang tak reti buat perancangan. Kiah dah fikirkan semua. Kenapa Ustazah halau Kiah....

Kiah akhirnya tahu, laki ustazah buat hal. Dia minat Kiah. Dia siap minta izin Ustazah nak try Kiah. Patut Ustazah halau Kiah. Kiah malas dah nak jumpa Ustazah, dia ingat Kiah apa... Kiah sendiri ada taste, laki orang Kiah letak barisan paling belakang sekali. Mak Kiah pun dah pesan, jangan ambil laki orang. Kiah bukan nak pun laki dia, Kiah nak berubah je. Kiah perlukan sokongan.

Setiap kali tidur Kiah mimpi kejayaan, Kiah tahu kejayaan tidak akan datang bergolek. Kiah kena usaha. Banyak juga dah buku motivasi Kiah baca, semua Kiah pinjam dari Kutub Kanah Kg Katak Hijau. Leman yang tunjukkan buku-buku yang bagus untuk Kiah. Leman dah lama jadi Pustakawan tentu Leman tahu mana yang bagus untuk bantu Kiah berubah menjadi apa yang Kiah impikan. Leman ni bagus, dia tak try pun Kiah. Mula-mula tu Kiah hairan juga. Penat Kiah lentik-lentik depan dia, tidak dipandangnya kita. Kiah suspect dia suka Seman.

Kiah fikir-fikir, hanya seorang je lagi yang Kiah kena jumpa. Kiah kena juga tanya dia. Kiah kena jumpa Ayah Kiah segera. Ayah Kiah bukan calang-calang, dia kerja di sebuah universiti di bandar. Orang kerja Universiti kan hebat-hebat, mesti ayah juga hebat. Kiah harap sangat Ayah jadi pemutus semua masalah-masalah Kiah selama ini. Kata Ayah yang muktamat, kalau ayah kata ON Kiah akan mulakan segera projek Kiah ini, tak boleh tunggu lagi. Kiah dah tak peduli orang lain. Ayah je yang Kiah percaya.

Okay Kiah pun mulakan.... sebenarnya, Kiah nak jual nasi lemak....
Ayah tenung je muka Kiah....

Tuesday, April 14, 2020

Review BUKU - KAMERA by Mim Jamil

Aku ambil masa dua hari juga untuk menghabiskan bacaan dan bagi sebuah buku yang karangannnya melebihi 200 muka surat, ini merupakan bacaan terpantas aku. Sejujurnya ada je aku skip perenggan kerana aku rasa ada part yang tidak perlu untuk dibaca, antara aku cepat bosan atau aku speed up untuk cepat habis.

Bagi aku yang jarang-jarang sekali berpeluang menjelajahi negara asing, buku ini seperti bawa aku berjalan menyusuri setiap lorong yang Ramly lalui. Aku jadi membayang bahawa Iran, Turki dan Zurich merupakan tempat yang menarik untuk dilawati. Garapan tentang keadaan dan situasi memberikan informasi yang sangat-sangat menarik untuk disimpan terutama bila Ramly bercerita tentang perjalanan di negara asing. Ia seperti memberi jalan dan harapan unutk orang seperti aku untuk jadi pengembara seperti dia. Menarik....

Ramly seorang melayu mungkin yang jenis moden dan layan apa sahaja depan mata. Yang aku tahu Ramly suka melancap. Amalan budak-budak bujang yang kegersangan. Ini sedikit slide tidak baik bagi Ramly. Yang pasti bila sudah agak dewasa seperti Ramly, adakah sebenarnya sangat sukar untuk mimpi basah. Ini pada aku sedikit was was dalam mencari logik.

Masuk bab cinta... plot cerita seperti boleh diagak pada awalnya. Sara seorang yang lawa, manis dan senang berbual dan berbicara. Namun bila masuk ke penghujung yang sangat pantas ditamatkan dengan tanda tanya... Mungkin kalau aku jadi Ramly, sudah lama Sara tu ku lempang laju-laju. Tiada langsung penjelasan, menjadi pelik bukan sesuatu perkara yang normal.

Hilangnya Ramly Nasution sesuatu yang misteri. Tanpa jejak walaupun ada peninggalan KAMERA dan lappy kesayangan sehingga terbitlah cerita ini hasil dari penulisan emel kepada penerima yang langsung tidak dikenalkan sebagai watak. Apapun misteri yang ditinggalkan pada hujung-hujung buku, buat aku meninggalkan msg kepada penulis di ruangan instagram beliau "Ramly Nasution ini kisah benar atau tidak?"

Sekian.

Buku ini buat aku kembali menulis....

Saturday, April 11, 2020

Apa jadi kalau Imam kentut masa solat?

Boboi, kalau tengah sujud imam terkentut, papa bisik kat boi untuk sambung jadi imam tau. So boi kena sambung solat sebagai imam tau, kalau tidak nanti mama dan kakak yang tengah sujud tak tahu imam dah batal.

"Takpe papa, orang belakang nanti mesti bau punya......

Jem

JOM SIHAT OTAK


MENINGKATKAN KUASA FIKIRAN

Kita tahu bahawa kita mempunyai kuasa untuk membentuk minda kita. Seorang pemandu teksi yang mengambil masa beberapa tahun untuk menghafal setiap pelusuk jalan di dalam Kuala Lumpur dilihat mempunyai motor ingatan yang baik. Mereka yang mengamalkan meditasi dipercayai mempunyai ingatan yang lebih baik dari mereka yang terlalu sibuk dengan tugas di lapangan. Mereka yang lebih muda adalah lebih berpeluang untuk berlatih membentuk minda supaya lebih cerdas dari mereka yang telah berumur dan seterusnya mengelakkan penyakit lupa dan nyanyuk.
Gen keturunan dan faktor umur tidak menentukan kekuatan otak seseorang, oleh yang demikian sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan kuasa minda dan fikiran.

Jadi, apakah tindakan yang perlu kita ambil?

Pengambilan makanan khas untuk kesihatan otak

Kita sedia maklum bahawa tidak ada makanan ajaib mahupun makanan tambahan yang dapat membuatkan anda menjadi lebih bijak dalam masa yang singkat. Justeru, mengubah corak pemakanan boleh membantu dalam penjagaan kesihatan otak anda.
Oleh itu, masukkan lah makanan ini di dalam hidangan anda.

Sayuran Jenis Daun Hijau – bayam, daun kale dan sayuran arugula kaya dengan bahan folat, antioksida dan Vitamin K. Satu kajian daripada Pusat Kesihatan Universiti Rush menunjukan pengambilan satu hidangan cukup untuk mengekalkan fungsi kognitif semasa anda. Dan mereka yang ambil lebih dari satu hidangan, fungsi otaknya adalah sekuat dari mereka yang 11 tahun lebih muda dari mereka.

Kacang – almond dan wulnut menjadi pilihan kerana khasiat omega 3. Asid lemak tidak tepu yang ada dalam kekacang ini membantu pembinaan sel-sel baru dalam otak dan seterusnya mengelakkan masalah keradangan, yang mana ia boleh menyebabkan kehilangan memori.

Ikan – terutamanya jenis salmon, trout dan sardine adalah merupakan salah satu sumber utama Omega 3 dalam pemakanan. Sangat baik untuk kesihatan otak.

Beri – mampu memperlahankan proses lemah ingatan atas faktor umur. Mereka yang mengambil beri jenis strawberi dan beri biru mempunyai minda 2.5 lebih muda dari umur sebenar. Ia dikatakan mampu menjaga saluran darah dalam badan.

Elakkan apa sahaja yang tidak baik untuk jantung

Apa sahaja makanan yang baik untuk jantung adalah juga baik untuk kesihatan otak. Makanan yang baik yang kurang lemak dan garam membantu dalam pembentukan minda yang cerdas. Sekiranya ada keperluan untuk pengambilan makanan jenis lemak tepu seperti daging merah, keju dan makanan yang digoreng dengan minyak, ambillah dengan kadar yang berpada-pada dan jangan berlebihan.

Memandangkan masalah tekanan darah dan berat berlebihan juga merupakan punca penurunan kuasa ingatan, maka penjagaan pemakanan dilihat sangat penting. Adalah sangat bagus sekiranya seseorang itu mampu megelak terus dalam mengambil makanan yang tinggi garam dan makanan yang diproses seperti minuman tinggi gula dan makanan segera.  

Bersenam dengan lebih kerap

Otak kita memiliki lebih kurang 100 bilion neuron iaitu sel yang bertindak menghantar segala informasi kepada keseluruhan tubuh badan. Oleh yang demikian senaman yang secukupnya adalah kunci bagi membentuk persekitaran yang sihat. Aktiviti fizikal daripada senaman dapat membantu dalam peredaran darah dan oksigen ke dalam otak dan seterusnya membantu peningkatan potensi otak untuk menjadi lebih cerdas. Selain mampu memberikan kesihatan dan kecergasan tubuh badan, senaman berbentuk fizikal juga mampu mengurangkan risiko untuk mengalami masalah lupa dan nyanyuk.

Cari masa untuk berehat

Setelah penat bekerja seharian, cari la waktu senggang untuk berehat. Otak juga memerlukan rehat yang secukupnya bagi membantu ia pulih dari kepenatan berfikir. Berehat bukan lah bermaksud anda tidur seharian tetapi menjalankan beberapa aktiviti sihat yang merehatkan minda. Mereka yang mempunyai hobi dalam kehidupan dilihat lebih ceria dari mereka yang gila bekerja tanpa ada satu ruang untuk diri sendiri. Berilah ruang kepada diri sendiri untuk melaksanakan sesuatu yang digemari. Sekiranya anda jenis suka bercuti, ini lah waktunya Cuma pilihlah lokasi yang merehatkan bukan bandar besar dan pusat membeli belah yang boleh membuatkan anda tertekan dengan berbelanja. Paling tidak sertai lah mereka yang menjalankan kerja-kerja amal, aktiviti yang lain dari kebiasaan mampu memberi kelainan dalam membentuk pemikiran yang sihat. Rehat tubuh badan, rehat minda dan kembali fokus pemikiran untuk menjadi lebih proaktif pada masa akan datang.

Marilah tidur dengan secukupnya

Tidur sangat penting untuk kesihatan otak. Gangguan tidur hanya dalam satu malam sudah cukup untuk mengganggu perjalanan otak yang aktif. Tidur bukan sahaja berperanan untuk membersihkan data-data yang yang kurang penting dan tidak diperlukan daripada otak malah ia untuk merekodkan pengetahuan baru ke dalam memori jangka panjang otak kita.

Tempoh yang disarankan oleh pakar kesihatan adalah kita perlu dapatkan tidur sekurang-kurangnya antara 7 hingga 9 jam sehari. Latih diri untuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari termasuk hujung minggu. Amalan untuk bangun lebih lewat pada hujung minggu dengan alasan cuti dan tidak berkerja adalah tida elok untuk diteruskan. Bangun lah seperti hari-hari yang lain dan buatlah sesuatu aktiviti yang bermanfaat bagi menggantikan tidur berlebihan.

Ada antara kita yang mengamalkan tidur sebentar terutama waktu tengahari. Ia sangat bagus untuk kesegaran minda bagi meneruskan tugas sebelah petang namun jangan berlebihan. Secukupnya ambil untuk tempoh tidak lebih 30 minit.
Elakkan pengambilan kafien selepas tengahari bagi mengelakkan anda sukar untuk tidur atau bakal terjaga ditengah malam. Ia jelas tidak elok untuk mendapatkan tidur yang baik.

Cuba lah amalkan untuk berhenti menggunakan skrin telefon atau komputer 2 jam sebelum waktu tidur. Ia bisa membantu anda mendapatkan tidur terbaik anda dalam seharian. Tukarkan dengan aktiviti membaca atau mandi untuk mendapatkan kesegaran sebelum tidur. Rehatlah dengan cara yang terbaik untuk mengakhiri hari penat anda.
Tidur akan sempurna sekiranya anda tidur seperti dalam gua yang gelap, sejuk dan sunyi.


Thursday, April 2, 2020

Khasiat Antikanser Dalam Makanan


Makanan dan minuman yang berkhasiat adalah senjata utama mencegah kanser atau barah. Mengikut kajian, satu pertiga daripada penyakit kanser berpunca daripada makanan yang diambil. Justeru pengawalan pemakanan adalah penting untuk mencegah kanser. Antara bahan-bahan antikanser yang terdapat di dalam makanan ialah  antioxidant seperti vitamin C, vitamin E dan selenium. 

Kajian juga menunjukkan mereka yang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai risiko 50% lebih rendah diserang kanser, terutamanya kanser paru-paru, usus besar, esofagus, serviks, mulut, perut, pundi kencing, pankreas dan ovari berbanding mereka yang lain. 

TOMATO - kaya dengan vitamin C, vitamin B, magnesium dan kalsium. Bahan lycopene di dalam tomato berfungsi mencegah kesan negatif radikal bebas ke atas sel-sel di dalam badan, disamping mampu mencegah kanser prostat bagi lelaki dan kanser pankreas secara umumnya. Lycopene juga boleh didapati di dalam tembikai.

SAYUR-SAYURAN HIJAU - Sayuran seperti bayam, daun salad dan kubis ada bahan antikanser seperti beta-carotene, lutein dan asid folik.

BAWANG - Bawang merah dan putih juga mengandungi banyak bahan antikanser. Kajian menunjukan ia mampu mengecutkan ketumbuhan payudara sebanyak 71% dan mampu mencegah kejadian kanser perut dan usus. Bahan yang dikenali sebagai ajoene dalam bawang bertindak sebagai bahan toksik kepada sel-sel kanser, Bawang juga mempunyai bahan sebatian belerang atau sulphur compounds yang mampu meransang sistem pertahanan seseorang.

BUAH SITRUS - Limau, lemon, oren dan seumpamanya mengandungi bahan-bahan antikanser seperti carotenoids dan flavonoids. Juga kaya dengan limonene yang berfungsi merangsang sistem pertahanan badan untuk melawan sel kanser. Buahan seperti ceri dan anggur juga bermanfaat lagi berkhasiat dalam melawan kanser.

SAYUR JENIS KUBIS - Kubis, bunga kubis atau cauliflower dan lobak amat berkhasiat kepada manusia kerana ia mengandungi vitamin B, vitamin C, kalsium, kromium dan serat. 

KACANG SOYA dan produknya seperti tofu dan tempe mempunyai paling kurang 5 bahan sebatian yang berfungsi untuk mencegah kanser. 

SAYURAN JENIS KEKACANG DAN BIJIRIN - Kacang panjang kaya dengan vitamin B, zat besi, potassium dan magnesium. Ia juga mengandungi bahan yang mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam badan disamping mencegah kanser. Kekacang dan bijirin secara umumnya mengandungi banyak bahan serat yang bertindak mempercepatkan proses pembuangan bahan-bahan toksik sebelum ia merosakkan sel-sel sistem penghadaman. Ia mampu mencegah kanser pankreas dan perut.

DAUN TEH - Teh hijau adalah lebih berkhasiat daripada teh hitam daripada pelbagai sudut. Teh hijau yang kaya dengan bahan polyphenols memelihara sel-sel di dalam badan daripada bertukar menjadi kanser, disamping mencegah daripada serangan sakit jantung. 

SUSU TANPA LEMAK atau rendah lemak - Lemak tepu yang terdapat dalam susu boleh menyebabkan kanser terutamanya kanser perut, usus besar, mulut, paru-paru, pundi kencing, payu dara dan serviks. Oleh yang demikian pengambilan susu tanpa lemak atau rendah lemak mampu mengatasi perkara ini disebabkan oleh kalsium, riboflavin, vitamin A dan D yang terdapat di dalam susu. 

IKAN SALMON - Salmon, pelata atau mackerel dan sardin mempunyai asid lemak omega-3 yang mampu mencegah seseorang daripada diserang penyakit jantung, radang sendi dan gatal kulit. Kajian juga mendapati asid lemak omega-3 berfungsi sebagai bahan antikanser dalam badan seseorang. 

Ceramah 6/8/2024

 Unsur manusia 1. Jasad - makan baik2. Minum yang halal.  2. Roh - solat 5 waktu 3. Akal - didik akal dengan ilmu manfaat  4. Hati - bahagia...